Thursday, August 11, 2011

Part 4: Kisah Adik Iqbal pd tahun 2010 (Bln Ramadhan)

Terima kasih kpd pembaca yg sudi membaca kisah adik iqbal nie... so pagi nie mama sajer jer lagi google search pasal adik iqbal.. then mama terjumpa ler artikel nie yg disiarkan di BH pada bulan Sept 2010.. mari kita ikuti ceritanya....

dipetik dari Berita Harian Online

Doa ibu
Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar
fatin@bharian.com.my
2010/09/07

Jamilah bersyukur Iqbal masih berpeluang rai Syawal

SEBALIK segala rintangan dihadapi dengan tabah, segala masalah yang muncul ditangani tanpa mengenali putus asa hinggakan tiada terbitnya perkataan mengalah dalam kamus hidup. Biar pun hidup ini dilihat ibarat bunga layu, dia hanya mampu berserah dengan doa dan harapan untuk mengubah haluan hidup.

Semua itu bukan mudah, namun setiap kali memandang tepat pada mata bulat mengerlip layu, hilang segala keletihan malah bangkit kekuatan untuk meneruskan setiap kehadiran saat sebelum tamat satu episod kisah hidup.

Sedang melihat rakan seusianya berkembang, membesar dan mengenali persekitaran, si kecil penghidap penyakit jantung kronik ini pula tidak pernah rasa terasing atau takut dengan keadaan yang bakal ditempuhinya malah aktif menikmati setiap waktu yang dimilikinya.

Tiada lagi air mata yang boleh ditangiskan, Jamilah Bujang, yang berusia 39 tahun memberitahu, ajal maut segala-galanya di tangan Tuhan dan manusia hanya mampu merancang.

“Sudah tiga tahun usianya, namun keadaan fizikalnya jauh berbeza daripada kanak-kanak seusia dengannya. Lihat saja bibirnya yang kebiruan itu serta perut yang membesar. Dari situ ternyata Iqbal Fahreen Hamdan (anak) membesar dalam keadaan yang tidak normal.

“Keadaan fizikal Iqbal semakin ketara apabila dia gagal menjalani pembedahan jantungnya buat kali ketiga dan doktor mengesahkan baki jangka hayat untuk si manja saya ini tidak panjang lagi,” kata suri rumah itu dengan penuh tenang.

Menceritakan detik permulaan berita amat memilukan itu disampaikan, Jamilah memberitahu anak bongsunya, Iqbal disahkan menghadapi Truncus Arterious Type 2 yang meletakkannya lahir tanpa satu injap, dada berlubang dan pembuluh darah tumbuh di belakang jantung selepas dua minggu kelahiran.

Katanya, oleh kerana keadaan Iqbal yang kronik, selain berat badannya yang semakin menurun, dia dikejarkan untuk menjalani pembedahan memasukkan injap lembu ke dalam dada bagi membolehkan sistem jantungnya berfungsi dengan normal.

“Lemah seluruh anggota tubuh mengenangkan kesakitan bakal dilalui Iqbal. Namun saya berserah demi memberikannya peluang menikmati kehidupan.

“Syukur pembedahan pertama itu berjaya dilakukan doktor pakar daripada Institusi Jantung Negara (IJN) dan perkembangan positif dapat dilihat, cuma dia agak lambat berbanding anak-anak seusianya berikutan tidak tahu meminum susu botol dan agak sukar bertutur,” katanya.

Selepas dua tahu pembedahan pertama, sekali lagi anak kecil berusia tiga tahun itu dibawa ke hospital bagi penukaran injap berikutan ia perlu dilakukan mengikut peningkatan usia.

Hati ibu mana tidak tersentuh. Melihat anak terjatuh lantas menangis pun sudah tak keruan, ini pula melihat dada anak kecil yang comel, dibelah. Bayangkan kesakitan yang perlu dilalui si kecil.

“Namun segala-galanya adalah ketentuan yang Maha Kuasa. Sebagai insan, kita perlu berusaha dengan tabah supaya setiap dugaan diberikan menjadi teladan dan bimbingan dalam menjalani hari mendatang. Syukur, pembedahan kali kedua banyak membantu pertumbuhan Iqbal dan dia semakin aktif,” katanya.

Namun, sambil memeluk Iqbal yang manja, Jamilah memberitahu Iqbal disahkan tiada harapan untuk pulih berikutan jantungnya sudah terkena jangkitan kuman dan tiada rawatan mampu ditawarkan.

Pembedahan yang sepatutnya berjaya dilakukan pada 19 Mac 2010 bagi menyediakan peluang untuk Iqbal terpaksa dibatalkan. Keadaan Iqbal ketika itu sungguh kritikal, paru-parunya semakin mengecut dan saluran darahnya sempit menyukarkan peredaran darah berlaku secara normal.

“Melihat pakar bedah keluar dari bilik pembedahan sebelum tamat tempoh prosedur itu, mengocakkan lagi hati yang berdebar. Riak wajahnya menyusun ungkapannya sebelum berkumandang, membuatkan saya hilang sabar dan terus menerkam.

“Tiada lagi harapan untuk anak lelaki tunggal saya ini. Pihak hospital menasihatkan saya untuk membawa pulang Iqbal dan menghargai setiap saat yang terpancar baginya menjalani saki-baki kehidupan bersama keluarganya,” jelasnya.

Bukan mudah tetapi Jamilah akur, dia perlu tabah dan cekal mengharungi episod baru dalam hidupnya. Setiap saat bersama Iqbal tidak dipersiakan dan si anak bagaikan faham kesedihan ditanggung ibu. Ada saja kerenah yang dilakukan Iqbal kala hati Jamilah sedih tidak keruan, mengharapkan senyuman terukir di bibir si ibu.

Ditanya persediaan menempuh Syawal, Jamilah hanya mampu berdoa supaya anak lelaki tunggalnya itu mampu meraikan hari bahagia itu bersama seisi keluarga.

“Ya Allah, kau temukanlah anak aku Iqbal dengan Syawal yang bakal datang menjenguk. Itulah doa yang dilafazkan setiap malam sebelum saya menamatkan solat. Tiada apa yang lebih penting, cuma ingin melihatnya dapat menyambut hari bahagia itu sebelum pemergiannya.

“Perayaan tahun ini tidak disambut meriah atau istimewa memandangkan ini mungkin menjadi perjumpaan terakhir buat Iqbal. Untuk saya, kemeriahan itu bakal meninggalkan kenangan memeritkan buat keluarga dan diri ini,” jelasnya menamatkan perbualan.
------------
nk tahu kisah2 adik iqbal.. leh pie ker link bawah


SELAMAT MEMBACA!!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JUST CLICK ME!!!