Friday, March 21, 2014

Tazkirah 21 March 2014 (19 Jamadilawal 1435H)

Asssalammualaikum wbt n slmt pg...
Salam pagi Jumaat .., penghulu segala hari...

TAZKIRAH HARI INI 

Husnu zan VS Su'uz zan !

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Allah s.w.t. berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku."
(HR: Bukhari).

PENCERAHAN :
Maksud bersangka baik dengan Allah ialah rasa takut dan harap yang saling bergandingan, ataupun rasa takut mengatasi rasa harap. Ciri-ciri seorang hamba yang bersangka baik dengan Allah antaranya ialah :

1. Apabila melakukan sebarang ibadah, dia bersangka baik bahawa Allah akan menerima ibadahnya itu dan membalas dengan sebaik-baik ganjaran pahala.

2. Apabila berdoa dia tahu bahawa Allah akan memakbulkan doanya.

3. Apabila dia berdosa, segera bertaubat dan bersangka baik bahawa Allah akan menerima taubatnya dan mengampunkan dosanya.

4. Apabila ditimpa musibah, dia akan bersangka baik bahawa di sebalik ujian itu ada hikmahnya.

Ulama mengajar kita cara bersangka baik sesama manusia. Antaranya dengan tidak menyebarkan keburukan saudara seislam yang lain. Amalkan nasihat-menasihati andai ada kekurangan yang terserlah pada individu tersebut. Saling mendoakan kesejahteraan dan mudah memaafkan kesalahannya.

Secara mudahnya, husnu zan ini sama maksudnya dengan 'positive thinking'. Berbeza pula dengan su'u zan atau 'negative thinking'. Allah berfirman yang bermaksud : "Sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang jahiliah." (QS: 'ali-Imran,154)

Rasulullah saw bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ،
“Hindarilah prasangka (buruk), kerana prasangka (buruk) adalah ucapan yang paling dusta” (HR: Muslim)

يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ اجْتَنِبُواْ كَثِيراً مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ
Allah juga menyatakan : "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa" (QS: al-Hujurat, 12).

Punca manusia boleh buruk sangka kepada Allah antaranya ialah tidak yakin dengan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Tidak dapat menerima hakikat bahawa lumrah hidup manusia yang sentiasa diuji dan ragu-ragu sama ada ibadahnya akan diterima Allah atau pun tidak.

Buruk sangka kepada manusia pula antaranya dengan sentiasa menuding jari pada orang lain, bila sesuatu perkara yang buruk atau tidak diingini berlaku dengan tuduhan yang tidak berasas atau yang diada-adakan. Contoh, "Dulu berlaku peristiwa pencerobohan di Lahad Datu orang kata kerana dia...Kapal Terbang MH370 hilangpun kerana dia punyalah... Rasanya jerebu ni pun pasal dialah kot !"

KESIMPULAN :
Ayuh kita leburkan buruk sangka itu dengan berusaha menambah ilmu agama. Jangan sesekali berprasangka buruk tanpa asas kepada seseorang, pandang sisi baik dan lupakan sisi jahatnya. Jangan tergesa-gesa membuat sebarang andaian nagatif dan liar. Mintalah perlindungan Allah daripada bisikan syaitan dan mohon juga kepada Allah agar selalu diberikan sangkaan yang baik pada orang lain. Maka orang juga akan bersangka baik dengan kita.

Wallahu a'lam - Doakan istiqamah 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JUST CLICK ME!!!