Monday, November 5, 2012

Ilmu : Pujuklah Rasa: Merasai susah itu hadiah

DR ROBIAH K.HAMZAH
3 November 2012

Muka Depan Buku Pujuklah Rasa Oleh DR Robiah K. Hamzah

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan? Langit mana yang tidak pernah mendung? Laut mana yang tidak pernah bergelora? Di mana ada manusia yang tidak pernah disentuh duka dan bahagia?

Inilah hebatnya ALLAH SWT yang sentiasa menjadikan sesuatu itu berpasangan. Bila didatangkan siang, pasti diganti dengan malam. Bila datang mendung, hujan dan ribut, pasti dibayarkan dengan cuaca panas serta angin sepoi-sepoi bahasa.

Bila kita dijamah derita dan air mata, maka sabarlah menunggu giliran berganti. Pasti air mata akan berhenti mengalir dan bibir mampu merekahkan senyuman. Inilah sunnatullah dan fitrah alam anugerah ILAHI kepada kita.

Makanya, jika kita digigit derita sekarang, bangunkanlah keyakinan untuk menempuhinya bermodalkan pesanan ALLAH SWT dalam surah al-Hadid:
Tiada suatu bencana yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan ia telah tertulis dalam kitab (lohmahfuz) sebelumKami menciptakannya.
(Al-Hadid : 22)
Jika keyakinan ini dapat dipegang dan ditanam kuat di jiwa, maka tidak akan ada orang yang gelisah atau berkeluh kesah bila ditimpa bencana atau apa sahaja kesulitan yang mendatangi hidup. Bukan itu sahaja, kita mampu pula menerimanya sabagai sentuhan daripada ALLAH SWT berupa ujian.

Malah, jika perasaan sedia menerima itu meninggi dan menebal dalam hati, maka kita akan mampu menukar bencana menjadi kurnia, ujian menjadi anugerah sedang setiap kejadian itu adalah penghargaan daripada Yang Maha Mencintai hamba-nya.

Andai pemikiran ini dapat diterima, pasti semua kesedihan dan perasaan dukacita menjadi pahala kerana sudah terbangun jiwa yang kita ini sebenarnya sedang disentuh-NYA. Kita mendapat perhatian-NYA dan secara tidak langung semua musibah yang dihidangkan berupa surat cinta daripada-NYA yang memanggil kita untuk bercengkerama dengan-NYA:
Barang siapa yang ALLAH kehendaki menjadi baik, maka dia akan diuji oleh-NYA.
(HR. Bukhari)
Berpeganglah pada janji-NYA ini. Janganlah kita berasa gundah-gulana, bimbang dan bersedih bila bersua dengan penyakit yang kita tidak tahu bila sembuhnya, mendepani kematian yang kita tidak diberitahu bila munculnya, kerugian harta yang amat disayangi, mungkin juga kita diragut kebakaran yang tidak dijangkakan atau kehilangan simpanan yang sudah dikumpul selama ini... kerana semua ini adalah peta lakaran Yang Maha Mengetahui yang dipanggil takdir Ilahi.

Jika sudah meyakini ada penentu bernama takdir, lalu sedarlah bahawa kita ini hamba yang hanya layak berusaha. Hasil daripada usaha pula terletak di tangan ALLAH SWT sebagai Pemberi dan Penentu.

Bila kesedaran ini muncul di sanubari setiap hamba-NYA, maka semua yang terjadi akan menambah rasa dekat, rasa rela dan rasa sabar bila tertimpa sebarang musibah pemberian Pencipta Yang Maha Pengasih dan Maha Luas Pengetahuannya dan paling penting, Penentu qadak dan qadar hamba-NYA.

Jika perasaan ini tidak dimiliki sebagai penguat jiwa, maka akan teruslah kita teramuk rasa tegang, rasa gundah, rasa sakit hati atau rasa cemas di dada yang tidak pernah terpadam dan terkendali.

Menyedari hakikat setiap anak Adam yang lahir sudah tertulis qadak dan qadarnya, maka teruslah berusaha merawat kesedihan sedaya mungkin serta memohon bantuan, petunjuk dan hidayah daripada Pemberi musibah tersebut agar usaha kita menjadi ringan.

Jangan pula berasa kita berkemampuan sepenuhnya mengatasi masalah sendiri tanpa memerlukan DIA untuk campur tangan... kerana kita tidak akan mampu tanpa-NYA.

Sesuatu terjadi kerana ia sudah ditentukan akan ter-jadi. Sedarlah... setiap yang sudah digariskan-NYA akan tetap terjadi biarpun satu dunia menghalangnya. Mana mungkin dunia dapat menghalang meletusnya gunung berapi kerana itu sudah ketentuan Ilahi.

Begitulah hidup kita. Kita hanya layak menjalani apa yang kita rancang. Tetapi jangan lupa DIA juga merancang. Maka, yang akan terjadi ialah apa yang sudah dirancang-NYA. Bila merancang yang bukan izinnya DIA, pasti perancangan kita akan meleset. Berpeganglah pada keyakinan ini agar kita tidak terperangkap dalam rasa sedih, dendam, penyesalan dan kebinasaan.

Percayalah pada ketentuan-NYA yang disebut qadak sebelum kita menghukum diri atau orang lain dengan kebencian dan balas dendam. Kepercayaan ini akan membuahkan ketenangan tanpa rasa sesal atau pedih untuk melangkah liku-liku hidup yang pasti akan ditemui walau dalam apa pun jua bentuknya... sama ada sesuai dengan hajat dan kemahuan kita atau sebaliknya.

Jangan pernah menyesal dan menyalahi diri atas pilihan yang sudah dibuat dengan ungkapan, ‘andai kata’, ‘jika’, ‘kalaulah aku tidak melakukan tindakan ini, pasti hal sebegini tidak terjadi’ dan lain-lain ungkapan penyesalan kerana ia hanya menambah berat derita yang ditanggung. Lebih baik memujuk hati dan perasaan dengan ungkapan keramat ‘semua ini adalah ketentuan ALLAH SWT’ kerana sudah dipesankan kepada semua pengikut Rasulullah SAW.

Mudah-mudahan dengan meyakini ini, kita tidak lagi berdukacita bila dilanda kesulitan dan penderitaan. Jadikan kesusahan itu universiti kedua dalam hidup. Belajarlah daripada kisah Nabi Ibrahim bila mahunya DIA, api yang panas menjadi dingin dan kisah Nabi Musa tentang laut luas bertukar menjadi jambatan untuk dilalui jika takdir-Nya datang berkunjung memudahkan kehidupan manusia.

Binalah keyakinan bahawa bersama kesusahan itu pasti datang kemudahan. Janji-NYA itu pasti dan tidak wajar diragukan. Inilah motivasi unggul yang membuatkan semua utusan-NYA tidak pernah menyesal menjadi nabi dan rasul. Mereka tidak pernah meminta untuk meletak jawatan biarpun betapa sulit tentangan yang dihadapi meskipun ancaman bunuh.

Mari renungkan janji-NYA ini dalam kehidupan harian dan gerakan alam semesta. Tiada malam terus berpanjangan, pastilah siang akan menjenguk tanpa ingkar. Diusir fajar yang membuatkan mentari malu untuk bertandang... menggantikan gelap malam kepada kecerahan siang. Begitulah mahunya DIA.

Bila kita lapar pasti akan diganti dengan kenyang. Bila kita sakit, pasti akan datang kesembuhan berbentuk hidup atau kematian. Jika dalam kesesatan, pasti ditemukan petunjuk. Setiap tangisan pasti akan ditemukan dengan senyuman di penghujungnya. Rasa takut akan ditelan hilang oleh datangnya rasa aman.

Mari basuh diri kita yang sedang dalam kesulitan dengan renjisan berita pertolongan-NYA yang akan datang secepat kelajuan cahaya dan sepantas kerdipan mata. Itulah yang dibuktikan dalam sejarah tamadun manusia. Nabi Yunus selamat dari perut ikan Nun dan Nabi Musa mampu membelah Laut Merah.

Pesanan dibisikkan oleh ALLAH Yang Maha Berkuasa kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang ketika itu sedang bersembunyi di dalam sebuah gua. Lalu dibisikkan pula oleh baginda SAW kepada sahabatnya Abu Bakar sehingga menukarkan rasa bimbang kepada rasa tenang dan tenteram:
Bahawa ALLAH Yang Maha Tunggal dan Maha Tinggi bersama kita.
(at-Taubah : 40)
Begitulah jua kita jauhkan diri daripada berasa tersuntuk waktu walau sesaat pun kerana DIA sentiasa melihat serta sedia membantu bila hamba-nya mengadu dan berserah dengan sabar hanya kepada-NYA untuk merubah keadaan yang menghimpit. Siang dan malam sahaja pasti bertukar. Jadi, mana mungkin sudah selamanya, sulit selamanya dan sempit selamanya. Yakinlah setelah datangnya sulit, pasti ditukar dengan kelegaaan bila sampai masanya kerana DIA tidak pernah kejam pada hamba-nya.

Selamat beramal!!!!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JUST CLICK ME!!!