Tuesday, August 9, 2011

PART 3 : KISAH ADIK IQBAL FAHREN HAMDAN

sambungan.....

Lakukan apa saja untuk Iqbal

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


 
SETIAP hari dia pasti bertanya kepada anaknya yang sedang terlantar sakit, “Abang nak makan apa, abang nak minum apa? Biar ibu sediakan.” Dan apa saja perkataan yang terpacul daripada mulut anak comel ini pasti akan dipenuhi walaupun ketika itu jam sudah menunjukkan angka tiga pagi.

Bukan itu saja, ibu kepada Iqbal Fahreen Hamdan ini akan menunaikan semua permintaan anaknya walau dengan apa saja cara sekalipun kerana masa sudah semakin suntuk. Inginkan kek hari jadi bentuk lori sampah, menaiki jengkaut, kereta bomba, ambulans dan bas dua tingkat antara keinginan ‘pelik’ yang sudah dipenuhinya. Malah ketika hari dia meninggal dunia, dengan penuh kesayuan ibunya menunaikan permintaan Iqbal buat kali terakhir iaitu mahu melihat matahari terbenam.

Ketika bertemu wanita dan ibu hebat ini, dia bercerita satu persatu dengan lancar dan langsung tiada riak kesedihan pada wajahnya. Malah sesi pertemuan pada petang itu ada kala berubah menjadi lucu dan syahdu.

Sukar menelah perasaannya kerana dia dilihat begitu tabah dan cekal walaupun pernah melalui pelbagai kisah duka yang begitu menghambat perasaan. Tanyalah apa saja semua pernah dilaluinya. Antara yang menyayat hati kematian ibu bapa serta adik tersayang akibat kemalangan jalan raya dan terbaru, kehilangan Iqbal Fahreen yang ketika itu baru berusia empat tahun.



Arwah adik Iqbal Fahreen Hamdan yg kembali kerahmatullah pada 9 April 2011


Namun dia masih boleh tersenyum bahagia, malah ketika Iqbal meninggal dunia dan sehingga jenazahnya disemadikan, tiada setitis pun air matanya tumpah dan dia masih mampu berdiri teguh di sebelah suami memandikan dan mengkafankan jenazah.

“Saya sudah sempurnakan semua tanggungjawab sebagai ibu kepada Iqbal. Menyusukannya serta membesarkannya sejak dilahirkan sehingga menghembuskan nafas terakhir. Setiap kemahuannya saya penuhi. Saya tidak terkilan dan reda dengan pemergiannya,” katanya.

Menurut Jamilah Bujang, 40, hati ibu mana yang tidak sedih mengenangkan anak yang dikandung sembilan bulan menghidap penyakit jantung tanpa injap utama dan tiada harapan untuk pulih. Namun siapa kita untuk menentukannya kerana Tuhan lebih berkuasa.

Tidak kira sesukar mana, Jamilah bertekad membantu walau dengan apa cara sekali pun. Dia tidak mahu menyerah kalah sebelum berusaha. Hasilnya, Iqbal bertahan sehingga empat tahun walaupun doktor pernah memberitahu hayatnya mungkin tidak bertahan lama.

Namun kuasa Tuhan walaupun pernah dipakaikan injap lembu dan diganti dengan injap orang lain, Iqbal dapat mengecapi kebahagiaan seperti kanak-kanak lain walaupun hanya seketika cuma.

“Iqbal banyak memberi inspirasi kepada saya. Dia mengajar saya bagaimana menjadi ibu yang hebat, tidak menerima sesuatu sebagai takdir, sebaliknya berusaha sedaya upaya menyelamatkan anak sendiri dan selepas itu barulah berserah kepada Allah.

“Saya sedar ramai ibu hanya berserah kepada takdir apabila anak-anak menghidap penyakit kronik. Mereka menangis dan terus menangis. Tetapi sebenarnya itu bukan penyelesaian masalah. Sedarlah anak-anak akan menjadi kuat dan lebih bersemangat apabila ibu bapa kental menghadapinya,” ujarnya yang banyak menghabiskan masa di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Institut Jantung Negara (IJN).

Bagi Jamilah, dia tidak pernah mengeluh diberi pelbagai ujian kerana tahu hanya insan terpilih saja diuji. Cabaran dan dugaan dapat menjadikan seseorang itu lebih sabar, tabah, reda, bertakwa dan sentiasa mengadu kepada Allah. Sebab itu, walau apa saja ujian, dia yakin ada hikmah di sebaliknya.

“Saya menjadi lebih kuat kerana sebelum ini saya pernah melalui pelbagai pengalaman yang meruntun jiwa dan raga. Bayangkan, saya pernah bertugas sebagai pengarang di sebuah syarikat penerbitan dengan kedudukan yang stabil dan bergaji lumayan tetapi saya terpaksa membuat pilihan sama ada berhenti kerja atau membiarkan ibu terlantar sakit. Akhirnya saya mengambil keputusan berhenti kerja kerana ingin menjaga ibu yang menghidap kencing manis.

“Dalam menjaga ibu, saya melalui pelbagai pengalaman pahit iaitu kehilangan insan tersayang pada tarikh dan tahun yang sama. Datuk meninggal pada 24 April 1999, diikuti bapa pada 24 Mei, kemudian adik lelaki pada 24 Jun, pada 24 Julai rumah yang diduduki ibu saya terbakar manakala pada 24 Ogos, anak kedua saya, Muhammad Faris meninggal dunia pada usia enam bulan dan kini dia kehilangan Iqbal pula,” katanya.

Menceritakan saat bersama Iqbal, Jamilah mengakui ketika di IJN, dia bukan saja terpaksa berperang dengan emosi, sebaliknya melihat kesedihan mereka yang senasib de­ngannya. Ada sepasang suami isteri yang hanya makan sekali sehari dan berkongsi makanan apabila anak mereka dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua bulan.

Pasangan berkenaan langsung tidak mempunyai wang. Rasa tanggungjawab menggerakkan hati Jamilah menulis cerita untuk diberikan kepada pengarang beberapa majalah dan kisah mereka mendapat perhatian masyarakat sehingga berjaya mengumpul sejumlah wang bagi menampung kos perubatan si kecil.

Bukan seorang tetapi dia membantu puluhan keluarga yang melarat dan tidak berkemampuan. Malah ada yang dibantu sehingga mampu mengubah kehidupan menjadi lebih sempurna apabila dapat membuka perniagaan hasil derma orang ramai.

Bagi Jamilah, walaupun tidak berwang namun dia masih dapat membantu dengan cara sendiri iaitu menerusi cerita yang dihantar ke syarikat penerbitan.

“Saya percaya kehidupan bukan sekadar apa yang ada depan mata tetapi perlu melihat jauh ke depan. Untuk apa bersedih kerana tempat anak-anak ini sememangnya sudah ditetapkan di syurga dan sebagai ibu dan bapa, kita harus kuat menghadapinya,” ujarnya.

Penulis turut berasa sayu memerhatikan semua barang permainan kesayangan Iqbal terutama motosikal besar tetapi Jamilah memberitahu, dia langsung tidak terkilan walaupun terpaksa menghabiskan ratusan ribu ringgit semata-mata memastikan anaknya dapat hidup seperti kanak-kanak lain.

Demi Iqbal, dia sudah menghabiskan hampir RM200,000 untuk kos tiga pembedahan. Jika difikirkan, dia memang tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu tetapi Tuhan memberikan rezeki kepadanya melalui bakat dalam bidang penulisan.

“Saya menulis cerita kanak-kanak dan tekad menyelesaikan 60 buah buku dalam masa setahun. Memang agak sukar tetapi demi untuk Iqbal saya kuatkan semangat dan berjaya melakukannya,” katanya.

Menurut Jamilah, dia seorang yang sangat sederhana. Hanya mempunyai sepasang baju dan akan mendapatkan yang baru apabila baju lama sudah lusuh dan koyak.

“Saya mengajar diri untuk bersederhana dalam apa juga keadaan. Begitu juga dengan anak-anak. Untuk apa membeli pakaian mahal dan mewah sedangkan ada yang lebih penting daripada itu,” katanya.

Melihat perwatakan serta cara Jamilah bercerita, sememangnya dia wanita hebat. Semua ini diwarisi daripada darah bapanya, Bujang Tanda yang suka membantu orang ramai.

Sejak di tingkatan tiga, dia sering melihat bapanya membantu orang susah. Memberi mereka makan, menyelesaikan masalah rumah tangga sehingga menghulurkan wang kepada mereka yang memerlukan. Semua dilakukan bapanya dengan ikhlas dan Jamilah membesar dalam persekitaran itu sehinggakan dia juga turut terikut-ikut dengan pendekatan bapanya yang gemar membantu orang ramai.

Buktinya ketika di tingkatan tiga, Jamilah pernah mengeluarkan duit tabung sebanyak RM100 semata-mata membantu rakannya dan membayarkan makanan untuk rakan-rakannya.

“Memang saya tidak sampai hati menolak atau memekakkan telinga jika ada yang meminta pertolongan. Jika ada duit, saya akan beri setakat termampu. Jika tiada mungkin dengan memberi barang makanan dan nasihat saja,” ujarnya yang membantu tanpa mengira bangsa dan agama. Malah ramai gadis terlanjur datang kepadanya. Mereka ingin mendapatkan bantuan untuk dinikahkan dan mencari keluarga angkat untuk anak yang dikandung mereka.

Ketika ditanya bagaimana dia membuang kerinduan pada Iqbal, pantas dia menjawab kerinduan itu sentiasa ada dan berlegar-legar dalam jiwanya, apatah lagi tatkala memandang gambar dan barang kesayangan Iqbal.

Walaupun Iqbal sudah tiada namun semangat serta inspirasinya dibawa ke mana saja. Bagi Jamilah dia akan meneruskan perjuangan membantu golongan susah tidak kira wanita, lelaki, remaja atau kanak-kanak tanpa mengira bangsa. Dia juga bercadang membuka perpustakaan untuk menempatkan hampir 353 judul buku kanak-kanak yang dihasilkannya.

“Di sini tiada perpustakaan, jadi biarlah saya menjadi pencetus menyediakan perpustakaan amal untuk mereka. Sekurang-kurangnya saya dapat membantu kanak-kanak yang tidak berkemampuan mendapatkan bahan bacaan.

“Saya juga ingin mengadakan kelas bahasa Melayu percuma di rumah bagi sesiapa yang memerlukan. Kalau dulu suami saya menyediakan kelas mengaji al-Quran percuma kepada kanak-kanak, kali ini tiba giliran saya pula untuk buat kebajikan,” katanya mengakhiri perbualan.

Nota: Jamilah Bujang adalah pemenang Anugerah Khas dan peserta akhir untuk Anugerah Hari Ibu Harian Metro 2011. Ketika anak sulungnya, Izzatul Farhanah Hamdan, 15, menghantar penyertaan ibunya ke meja Harian Metro, ketika itu Jamilah sedang bertarung jiwa dan raga menjaga anak­nya Iqbal Fahreen di IJN dan ketika diumumkan sebagai pemenang pada 19 Jun lalu, Iqbal Fahreen sudah kembali menghadap Ilahi pada 9 April 2011. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Amin.
----------
begitulah kisah adik iqbal yg amat menusuk jiwa mama...smg jumpa lagi

4 comments:

  1. Kagum dgn ketabahan dan kesucian hati kak jamilah. Alfatihah buat arwah iqbal.

    ReplyDelete
  2. mmg tabah... kita kadangkala anak nakal sket kita dh hilang sabar.. ini kan pula anak sakit dr kecik hgga umur 4thn.. begitu tabah beliau!!!

    ReplyDelete
  3. bukan tk nk follow tp tk jumpa cri butang follow.... dh jenuh mcarinye... :P

    ReplyDelete
  4. ishhh ada ler... cuba tgk "JOM IKUT MAMA" ada kan butang tu.. hehehe

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JUST CLICK ME!!!