Tuesday, August 9, 2011

PART 2 : Kisah Benar :IQBAL FAHREEN HAMDAN

Salam
Mama nk sambung kisah adik Iqbal...

------------------------------------------------------
credit to axa87.blogspot.com

UCAPAN TERIMA KASIH BUAT SEMUA ‘PEMINAT IQBAL FAHREEN HAMDAN”

Pagi tadi saya dapat sms dari emak Iqbal. Beliau terasa sungguh sunyi selepas 10 hari Iqbal pergi.. Tak tahu apa yang patut saya katakan.. hanya kata semangat untuk beliau. Hanya Allah saja yang tahu berat yang ditanggung oleh Kak Jamilah. Minggu lepas, Kak Jamilah, mohon untuk berkongsi kisah anak istimewanya dengan semua.. Saya akan post karangan Kak Jamilah dalam blog dan FB saya untuk bacaan semua. Tujuan nya satu, untuk berkongsi kisah suka duka menjaga dan memelihara anak seistimewa Iqbal agar andai ada ibu-ibu yang senasib dengannya membaca, sekurang-kurangnya terubat hati apabila mengetahui segala suka duka ini boleh dikongsi bersama...

"Sudah lama rasanya saya tidak memegang keyboard computer saya. Mungkin dalam tiga bulan ini. Agak janggal rasanya apabila cuba menulis terutama dalam situasi yang begitu sebak dan air mata yang tak putus-putus mengalir hingga membuatkan pandangan saya sedikit kelabu….

Hari ini Khamis, 14 April 2011 genap lima hari anak kesayangan saya, iqbal fahreen meninggalkan saya sekeluarga. Sambil menulis ini, pandangan mata saya terarah pada ruang tamu, tempat di mana Iqbal selalu terbaring. Di hadapan televisyen sambil melihat cerita-cerita kartun kegemarannya. Tipulah kalau saya mengatakan hidup saya tak sunyi sejak kehilangannya….

Baiklah saya memperkenalkan diri kepada anda semua. Nama saya Jamilah Haji Bujang, usia saya 40 tahun genap pada 23 April ini. Saya hanyalah seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Mempunyai empat orang anak, Izzatul Farhanah 15, Izzatul Firashah 10, Izzatul Fasihah 7 dan yang bongsu Iqbal Fahreen yang baru saja pergi menyahut panggilan ALLAH.

Malam tadi, adik angkat saya Almaswa Che Ros, yang merupakan senior reporter di MAjalah MIngguan Wanita membawakan saya lap topnya yang mana dia telah menyimpan cerita yang Asnida tulis mengenai Iqbal bersama gambar-gambar anak kesayangannya itu dua hari sebelum dia meninggal. ALLAHUAKBAR!!! Luluh jantung saya melihatnya..dan bertambah pilu apabila mengetahui betapa semua rakan-rakan di luar sana yang cuba untuk merealisasikan permintaan anak saya yang mahukan kek berbentuk lori pada hari jadinya yang lalu….

Terima kasih banyak-banyak kepada Kak su dari mantin yang menghantar kek pada KHamis lalu…begitu juga dengan Lin yang memberikan kek berbentuk lori bomba. Iqbal sangat sukakannya hingga dia melarang kami memotong kek itu….

Anak saya ini sebenarnya anak yang sangat istimewa. Inilah anugerah terbesar yang Allah berikan kepada saya sebagai seorang ibu. Sebenarnya, saya pernah kehilangan seorang lagi anak lelaki pada tahun 1999, juga akibat kematian mengejut di PPUM.

Ketika mengandungkan Iqbal, saya kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Hajjah ESah Hj Shamduddin pada tanggal 16 Jun 2006. SEratus hari selepas itu, saya kehilangan satu-satunya adik lelaki saya, Abdul Halim bin Bujang. Adik ini sangat rapat dengan saya. Kami sering berkongsi masalah namun pemergiannya pada 29 Ramadhan itu benar-benar menghancurkan perasaan saya sebagai saudara kandungnya. Pertama kali, saya sekeluarga hanya menikmati air the o dan minum goreng di pagi raya….

Namun, hati saya ceria kembali apabila saya menerima khabar bahawa saya bakal mendapat anak lelaki (saya dah ada 3 anak perempuan). Iqbal dilahirkan tepat pada 26 Februari 2007. apa yang istimewanya ialah dia berkongsi tarikh lahir yang sama dengan arwah abangnya, Muhammad Faris.

Saya cuba menolak agar Iqbal tidak dilahirkan pada tarikh ini kerana saya amat trauma dengan takdir sedih yang pernah menimpa dahulu. Namun rancangan ALLAH adalah yang terbaik. ALLAH menganugerahkan seorang anak lelaki kepada saya setelah lapan tahun saya kehilangan FAris.

Saya namakan dia Iqbal kerana dua perkara. Pertama, saya suka betul dengan seorang doctor berbangsa Arab yang bertugas di PUSRAWI. Namanya Dr.Iqbal. Dia selalu merawat arwah ibu saya. Orangnya tampan dan sangat berhemah. Kedua, saya amat mengemari karya seorang pengarang terkenal dari Pakistan. Namanya juga Iqbal!

Fahreen pula anak kedua saya yang kami panggil Kak Lang yang berikan. Dia peminat cerita melayu nombor satu. Dan amat meminati Fahrin Ahmad. Bergaduh-gaduh saya dengannya tentang nama ini. Namun akhirnya saya mengalah tetapi dengan syarat, ejaannya diubah sedikit. Dia bersetuju dan akhirnya bayi istimewa ini kami namakan Iqbal Fahreen.

Iqbal, anak yang tidak banyak karenah. Menjelang usianya dua minggu, saya mengesan sesuatu yang tidak kena pada anak ini. Dia tidak menghisap susu dengan baik. berat badannya semakin susut. Saya bawa dia ke PPUM untuk diperiksa dan keputusannya, anak saya disahkan menghidap sakit jantung, Truncus Arterioses Type 2.

Daripada saat 13 Mac 2007 saya belajar tentang kesabaran, saya isi rohani dan jasmani saya dengan kekuatan dan saya juga mula berkampung di hospital. PPUM dan IJN bagaikan hotel yang akan saya check in setiap tiga atau lima bulan sekali. Iqbal tidak pernah menyusahkan saya dan suami. Anak-anak yang lain juga sudah boleh menerima kenyataan bahawa mereka tidak boleh mengharapkan perhatian lebih dari saya atau ayahnya. Semua tumpuan sekurang-kurangnya 95 peratus tertumpah pada iqbal…

maafkan saya. Saya terpaksa berhenti di sini dahulu. Saya ada tetamu yang datang menziarahi. Panggilan telefon dari editor saya, Kak Sharah Ibrahim, Pengurus Besar Bahagian Marketing Alaf 21 juga membuatkan saya agak sebak. Buku saya bersama BUKU PRIMA Insyaallah akan berada di pasaran pada 22 April ini sempena Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Saya akan menulis lagi tentang Iqbal Fahreen dan akan dimuatkan di blog dan FB Asnida. Doakan saya sihat. Petang ini juga saya akan menziarahi kubur Iqbal. Rasa rindu padanya agak memuncak pagi ini. Moga kita bertemu lagi!-------"

___________________________________

Iqbal Fahreen - Pemergian yang diingati

Selepas memenuhi impian Iqbal, apa yang saya takuti berlaku juga. Ada saya suarakan pada suami, saya berdebar2 setiap kali ada sms masuk, saya gementar untuk menerima berita tentang Iqbal.. tetapi, pukul 3.50 ptg Sabtu 9 April 2011, saya terima juga kenyataan Iqbal telah pergi buat selamanya. Kak Dura menghantar sms itu. Ketika itu saya sedang bersiap untuk balik ke Seremban. Berderai air mata saya. Saya menangis bagai anak kecil kehilangan ibu. Seolah2 saya kehilangan sauda terdekat. Ketika memaklumkan berita itu di FB, dan bertolak ke Seremban, air mata saya masih lagi mengalir. Fikiran saya masih terpahat wajah Iqbal. Saya hairan.. Iqbal Fahreen, bukannya saudara terdekat saya, bukan siapa2 untuk saya. Kami berkenalan baru beberapa hari, bertemu pun sekali. Tapi pemergiannya sangat memberi kesan pada saya. Mungkin kerana singkatnya perkenalan itu membuatkan hubungan saya dengannya amat istimewa..Mungkin kerana, pandangan pertamanya telah membuahkan rasa kasih sayang yang dalam dan mungkin kerana kucupan pertama dan terakhir di pipinya membuatkan saya juga terasa seperti sedarah dengannya..

Kata Kak Dura, Iqbal pergi dengan tenang dihadapannya. Pemergiannya memang telah dijangka, cuma sebagai seorang ibu, saya mungkin pernah berharap keajaiban berlaku. Berdoa agar Iqbal mampu pulih kembali dan menjalani kehidupan seperti kanak2 lain. Tetapi saya tahu, Allah lebih mengetahui dan lebih menyayanginya. Syurga, tempat terbaik untuk Iqbal. Semoga Allah mencucur rahmat buat adik Iqbal Fahreen.. nama ini bakal melekat difikiran saya. Kisah ini akan terus menjadi ingatan.. akan menjadi cerita terbaik buat anak2 saya. Membuatkan saya lebih bersyukur dengan apa yang saya ada....
----------------------------------------------------

Iqbal Fahreen - A story to remember


Saya baru balik dari IJN. Rezeki saya bertemu dengan Iqbal Fahreen. Walaupun pada awalnya berat hati nak ke sana, bukan apa, saya takut kalau-kalau saya tidak mampu mengawal diri sendiri, tak mampu nak menahan perasaan..Semalam, permintaan Iqbal berjaya dipenuhi oleh insan2 yang sangat berhati mulia. Alhamdulillah kek yang dijanjikan siap dan terus dihantar oleh pembuatnya dari Mantin, Negeri Sembilan tanpa sebarang bayaran. Semoga Allah saja yang membalas jasa En Hamzah, Kak Suhaida, Puan Ana dan En Abdul Rahman. Walau saya sekadar penyampai maklumat, tetapi saya sendiri tumpang gembira bila impian Iqbal tercapai.



kek pertama Iqbal
Hari ni.. awal pagi saya menerima sms dari Lin, kawan saya di Setia Alam yang mintak tolong untuk saya hantarkan sebiji lagi kek berbentuk truck yang dibuat oleh jirannya. Ohh.. ramai yang berhati mulia di dunia ini.. Alhamdulillah, kek itu juga telah selamat sampai di IJN. Saya menguatkan hati untuk melangkah ke sana bersama Aszra. Hati saya berdebar2.. Tapi saya kuatkan juga. Bertemu juga saya dengan Iqbal, anak kecil yang bukan siapa2 pada saya, tetapi namanya sangat terkesan di hati saya.. Kalau semalam saya tengok gambarnya masih mampu untuk duduk untuk potong kek, tapi hari ni, Iqbal nampak lebih lemah. Dia hanya baring mengiring di atas katil melihat kek yang saya bawa. Nampak keletihan diwajahnya.. Berbual dengan ibu Iqbal, membuat kan saya kagum. Betapa tabahnya hati seorang ibu.. Beliau bercerita tentang Iqbal dengan tenang je.. Tak ada pun riak wajahnya bersedih atau meminta simpati. Tapi jauh dilubuk hatinya tiada siapa yang tahu.. Katanya, dia redha dan tahu Iqbal akan pergi meninggalkannya tidak berapa lama saja lagi. Walaupun begitu, dia puas.. kerana selama 4 tahun menjaga Iqbal, dia telah memberi yang terbaik utk satu2nya anak lelaki yang dimiliki. Banyak dah diusahakan.. tapi Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk Iqbal. Kata-katanya yang sangat terkesan pada saya.. "Allah menguji saya kerana nak beri saya pahala yang banyak.. Allah beri saya anak lelaki untuk tunggu saya kat syurga". Jatuh air mata saya disitu juga..


another cake dari Setia Alam
Hampir setengah jam saya disitu.. saya dapat rasa kekuatan seorang anak dan ibu. Iqbal memang anak yang kuat semangat... mungkin kerana ibunya juga seorang yang tabah.. Sama-sama lah kita berdoa yang terbaik buat Iqbal, andai kehidupan akan memberikan kebahagiaan untuknya, berdoalah kita agar dipanjangkan umurnya.. andai pemergianya dapat melenyapkan segala kesakitan dan kepayahannya... berdoalah kita agar dia pergi dengan tenang dan mudah... Allah telah punya rancangan buat Iqbal.. namun, tiada yang mustahil dengan Kuasa NYA. Subhnallah!

---------

Begitulah kisah seorang ibu yang tabah dan sabar menjaga anaknya dari umur sehari sehingga 4tahun 2 bulan... mama sggh kaun dgn ketabahannya... kalu la mama dlm situasi begitu, rasanya mama tk sekuat dan setabah mak Iqbal... semoga arwah berada di dalam golongan yg dikasihi oleh Allah swt... sayu rasanya hati...tetiba mama terasa rindu teramat sgt pada 2 org hero mama Ariff Nadim n Aliff Zafril... Mama sayang sangat dgn kamu berdua dan juga pada papanya... tk lama lagi anniversary kita yg ker 6 thn... Alhamdullilah Allah panjangkan usia perkahwinan kita dan memberikan anugerah 2 org hero yg comel dan agak lasak dan nakal tu... sayang kamu semua!!!!

ikuti part 3 plak yea.... mama search and ada artikel mengenai mak Iqbal...:-)

8 comments:

  1. mohon izin copy sebab saya pon ada buat entry arwah adik iqbal ni

    http://sumimie-miau-miau.blogspot.com/2011/08/kisah-benar-abangtunggu-mak-di-syurga.html

    ReplyDelete
  2. Saya ada baca kisah arwah dlm Mastika. MasyaAllah tabahnya hati ibunya. Semoga saya juga setabahnya.

    ReplyDelete
  3. mama shifa: copy la... bagus tuk pengetahun bersama, begitu besar pengorbanan yg Pn Jamilah lakukan dan sungguh tabah dan kuat semangat.

    ReplyDelete
  4. mommy lyna: mmg tabah hatinya.. kita belum tentu boleh setabah hatinya... Syukur alhamdullillah kita diberikan permata yg sihat walafiat... Syukur ke Hadrat Illahi. Aminnnn

    ReplyDelete
  5. Tabah sungguh hati seorang ibu ini..moga Allah akan gantikan yg lebih baik utknya. Dia Maha Tahu apa yg terbaik utk hambaNya..

    ReplyDelete
  6. mohon copy n share pic adik iqbal...
    al-fatihah~

    ReplyDelete
  7. Menitis air mata membaca kisah adik Iqbal Fahreen Hamdan nie. Tabah sungguh keluarga Arwah terutamanya Ibu kepada adik Iqbal Fahreen Hamdan. Takziah buat keluarganya..

    ReplyDelete
  8. Terima Kasih kerana memaparkan kisah adik Iqbal Fahreen.. tersentuh apabila membaca ketabahan dan pengorbanan seorang ibu yang tak ternilai demi anak tercinta... Takziah buat Pn Jamilah semoga Adik Iqbal di tempatkan dengan orang-orang yang beriman... amin...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JUST CLICK ME!!!